Bolehkah Rafizi & Nik Nazmi Bertanding Semula Selepas Kosongkan Kerusi?
Sebagai mantan Setiausaha Sulit kepada Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, izinkan saya memberikan sedikit komentar dan penjelasan berkaitan persoalan yang sering timbul akhir-akhir ini iaitu apakah implikasi sekiranya seseorang Ahli Parlimen melepaskan jawatan atau mengosongkan kerusi Parlimen kawasan yang diwakilinya.
Hari ini, 18 Mei 2026, negara dikejutkan dengan pengumuman oleh Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad yang mengumumkan keluar daripada PKR serta mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing iaitu Pandan dan Setiawangsa.
Tindakan tersebut secara langsung membuka ruang kepada proses perundangan dan perlembagaan yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Untuk makluman, Perkara 49A merupakan undang-undang anti-lompat parti yang dimasukkan ke dalam Perlembagaan Malaysia pada tahun 2022 bagi memastikan kestabilan politik negara serta menghalang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti selepas dipilih rakyat.
Secara asasnya, seseorang Ahli Parlimen boleh kehilangan kerusinya sekiranya beliau:
• Dipilih atas tiket sesuatu parti politik kemudian keluar parti atau tidak lagi menjadi ahli parti tersebut;
• Dipilih sebagai calon Bebas tetapi menyertai mana-mana parti politik selepas menang pilihan raya.
Namun perkara yang paling penting ialah kedua-dua Ahli Parlimen ini memilih untuk mengumumkan sendiri pengosongan kerusi mereka sebelum bergerak ke platform politik baharu. Ini dilihat sebagai langkah mengembalikan mandat kepada rakyat dan mengelakkan dakwaan bahawa mereka “melompat parti” sambil mengekalkan kerusi Parlimen.
Ramai juga bertanya: Adakah Rafizi dan Nik Nazmi masih boleh bertanding semula dalam PRK atau PRU akan datang?
Jawapannya, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang pilihan raya sedia ada, tiada peruntukan automatik yang menghalang seseorang Ahli Parlimen yang meletakkan jawatan daripada bertanding semula selama 5 tahun.
Pandangan bahawa seseorang wakil rakyat yang mengosongkan kerusi akan hilang kelayakan bertanding selama lima tahun sebenarnya sering bercampur dengan beberapa isu undang-undang lain seperti:
• hilang kelayakan akibat sabitan jenayah;
• hukuman mahkamah;
• atau peruntukan lama di peringkat Dewan Undangan Negeri sesetengah negeri sebelum ini.
Dalam konteks Rafizi dan Nik Nazmi, setakat ini tiada indikasi bahawa mereka hilang kelayakan untuk bertanding semula sama ada dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) mahupun Pilihan Raya Umum akan datang.
Malah sebelum ini, Rafizi sendiri pernah memberi bayangan bahawa beliau bersedia mempertahankan kerusi Pandan pada pilihan raya akan datang walaupun bukan lagi atas tiket PKR.
Apa yang berlaku sekarang lebih bersifat:
• pengosongan mandat politik,
• bukan kehilangan kelayakan politik.
Namun begitu, implikasi politiknya tetap besar:
-
Kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa berkemungkinan melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) sekiranya Speaker Dewan Rakyat mengesahkan kekosongan tersebut.
-
Kedua-dua tokoh ini perlu mendapatkan semula mandat rakyat sekiranya mahu kembali ke Dewan Rakyat.
-
Tindakan ini boleh menjadi referendum rakyat bandar terhadap hala tuju politik baharu yang cuba dibawa mereka.
-
Ia juga bakal menjadi precedent penting dalam politik Malaysia moden kerana jarang berlaku pemimpin kanan kerajaan memilih mengosongkan kerusi secara sukarela sebelum menyertai wadah politik baharu.
Ramai juga kurang jelas bahawa bukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menentukan kekosongan kerusi pada peringkat awal.
Prosesnya ialah:
• Parti atau pihak berkaitan memaklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat;
• Speaker menilai sama ada berlaku kekosongan di bawah Perkara 49A;
• Jika Speaker berpuas hati kerusi telah kosong, barulah perkara tersebut dimaklumkan kepada SPR untuk tindakan lanjut termasuk PRK jika perlu.
Perkara 49A diwujudkan selepas negara melalui episod ketidakstabilan politik sekitar 2020 hingga 2022 termasuk peristiwa yang dikenali sebagai Langkah Sheraton.
Namun undang-undang ini juga mempunyai beberapa kelompongan kerana ia tidak meliputi:
• Ahli Parlimen yang masih kekal dalam parti tetapi menukar sokongan politik;
• Ahli Parlimen yang mengundi bertentangan dengan pendirian parti;
• Perubahan sokongan dalam bentuk blok politik tertentu.
Sebab itu ada pandangan yang mengatakan bahawa Perkara 49A ialah undang-undang “anti-lompat parti”, tetapi bukan sepenuhnya “anti-ubah sokongan”.
Kesimpulannya, apa yang dilakukan oleh Rafizi dan Nik Nazmi hari ini akhirnya akan menjadi satu ujian besar kepada landskap demokrasi negara — sama ada rakyat melihatnya sebagai tindakan berprinsip mengembalikan mandat kepada pengundi atau permulaan kepada penjajaran politik baharu Malaysia.
Zack Zaihan Zainal,
Mantan Setiausaha Sulit Timbalan Yang Di Pertua Dewan Rakyat dan juga seorang Non Partisan
18 Mei 2026, 12pm IOI Mall Putrajaya
Post a Comment