Dari Superstar ke Kuasa Politik: Kisah Rajinikanth dan Vijay
Ramai orang tertanya-tanya, kenapa Rajinikanth akhirnya tak jadi masuk politik secara rasmi seperti yang dilakukan oleh C. Joseph Vijay atau Kamal Haasan.
Sedangkan satu ketika dahulu, hampir seluruh India melihat bayangan “Superstar” itu sebagai bakal pemimpin besar Tamil Nadu.
Pada tahun 2017, bila Rajinikanth mengumumkan hasrat menubuhkan parti politik sendiri, penyokongnya bersorak besar. Ketika itu, ramai percaya aura luar biasanya mampu mengubah landskap politik Tamil Nadu yang sekian lama dikuasai dua blok tradisional — Dravida Munnetra Kazhagam dan All India Anna Dravida Munnetra Kazhagam.
Bukan sesuatu yang mustahil untuk dibayangkan. Dalam dunia filem Tamil, Rajinikanth bukan sekadar pelakon. Beliau adalah fenomena budaya. Apa yang beliau cakap, orang dengar. Apa yang beliau buat, ramai ikut. Namun penghujung 2020, semuanya berubah secara mengejut. Rajinikanth mengumumkan beliau menarik diri sepenuhnya daripada politik.
Ramai peminat terkejut. Ada yang kecewa. Ada yang benar-benar sedih. Bagi mereka, Rajinikanth bukan sekadar hero layar perak, tetapi simbol harapan kepada sebuah perubahan politik baru. Hakikatnya, faktor terbesar ialah kesihatan beliau sendiri.
Rajinikanth pernah menjalani pemindahan buah pinggang beberapa tahun sebelum itu. Doktor memberi amaran supaya beliau mengelakkan tekanan melampau dan aktiviti fizikal yang berat. Ketika itu pula dunia sedang bergelut dengan pandemik COVID-19.
Politik Tamil Nadu bukan pentas kecil. Ia menuntut jelajah ke seluruh negeri, bertemu ribuan rakyat setiap hari, menghadapi tekanan media tanpa henti, dan berdepan serangan politik yang sangat keras. Dalam usia melebihi 70 tahun ketika itu, Rajinikanth sedar tubuhnya tidak lagi seperti dahulu.
Apa yang lebih menyentuh hati ialah surat terbuka yang ditulisnya ketika mengumumkan keputusan itu. Beliau menggunakan frasa Tamil, “Iraivan kodutha echarikkai” — amaran yang diberikan Tuhan. Frasa itu menjadi bualan besar seluruh India.
Ia ditulis selepas beliau dimasukkan ke hospital ketika penggambaran filem Annaatthe di Hyderabad akibat tekanan darah tidak stabil. Walaupun negatif COVID-19, doktor memberi amaran bahawa sistem imunnya lemah kerana sejarah pemindahan organ. Jika beliau meneruskan cita-cita politik dan mula menjelajah seluruh Tamil Nadu, risikonya terlalu tinggi.
Sebagai seorang yang sangat spiritual, Rajinikanth melihat insiden itu sebagai petunjuk tuhannya agar beliau berhenti sebelum terlambat. Dan di situ ramai mula menghormati keputusan beliau. Rajinikanth tidak mahu memberi harapan palsu kepada penyokong.
Tidak seperti Hamzah Zainuddin yang giat menyakinkan penyokong-penyokongnya bahawa gagasan RESET yang dibawanya akan menghasilkan sebuah parti politik sebagai wadah rasmi menjelang PRU16 yang akan datang tidak berapa lama lagi.
Kalau benar dia mahu menubuhkan parti politik, sudah tentu dia telah umumkan beberapa bulan sudah. Untuk memperkenalkan jenama politik baru bukan mudah dan bukan singkat masa. Tetapi sampai kini dia masih meneruskan roadshow dengan nama RESET. Saya menjangkakan di pengakhirannya roadshow gagasan RESET, beliau akan mengumumkan kembali masuk UMNO
Berbalik kepada kisah Rajinikahn, beliau sendiri pernah berkata, jika beliau jatuh sakit selepas menubuhkan parti, orang yang mempercayainya akan menanggung akibat. Beliau memilih untuk berhenti sebelum semuanya bermula. Bukan kerana takut kalah. Tetapi kerana tidak mahu menyusahkan orang yang percaya kepadanya.
Itulah bezanya antara populariti dan tanggungjawab. Rajinikanth memilih keamanan hidup. Beliau kekal sebagai legenda filem yang dihormati sehingga hari ini.
Berbeza pula dengan Vijay. Apa yang berlaku beberapa hari lalu membuktikan bahawa langkahnya selama ini bukan sekadar gimik selebriti.
Partinya, Tamilaga Vettri Kazhagam, mencipta kejutan besar apabila menang 108 kerusi dalam pilihan raya negeri Tamil Nadu 2026 — sekali gus memecahkan dominasi politik Dravidian yang bertahan hampir enam dekad. Ia antara kejutan politik terbesar dalam sejarah moden India.
Lebih menarik, ini adalah debut pilihan raya pertama parti itu. Kemenangan ini bukan berlaku semalaman. Vijay membina asas politiknya bertahun-tahun melalui gerakan akar umbi Vijay Makkal Iyakkam. Kelab peminatnya tidak sekadar berkumpul untuk meraikan filem baharu, tetapi disusun menjadi jentera sosial — membantu rakyat, mengurus bantuan pendidikan, aktiviti kebajikan dan gerak kerja komuniti.
Bila beliau menubuhkan parti, jentera itu sudah matang. Beliau juga bijak membaca ruang politik. Selepas pemergian tokoh besar seperti J. Jayalalithaa dan M. Karunanidhi, wujud kekosongan kepimpinan yang belum benar-benar diisi.
Vijay datang tepat pada waktunya. Beliau membawa imej segar, bahasa politik yang dekat dengan generasi muda, dan naratif perubahan yang mudah difahami rakyat biasa.
Inilah beza antara sekadar popular dan benar-benar bersedia.
Kalau diperhatikan, apa yang berlaku di Tamil Nadu sebenarnya boleh memberi pengajaran besar kepada politik Malaysia. Di Malaysia, kita juga pernah melihat figura popular cuba masuk politik.
Ada artis, tokoh hiburan, pempengaruh media sosial, bahkan bekas atlet. Tetapi majoritinya gagal memberi impak besar kerana mereka masuk terlalu cepat, tanpa struktur akar umbi yang kukuh. Dan ramai yang kata di Malaysia para selebriti masuk ruang politik hanya kerana mengidamkan jawatan lantikan dan projek timbal balik serta 'security' dalam industri.
Vijay membuktikan bahawa kemasyhuran sahaja tidak cukup. Rakyat hari ini semakin matang. Mereka tidak lagi mudah terpesona hanya kerana seseorang itu terkenal. Mereka mahu melihat kerja lapangan, konsistensi, disiplin organisasi dan hala tuju jelas. Ini sesuatu yang patut diperhatikan parti-parti politik Malaysia.
Kita sering terlalu bergantung pada wajah lama, retorik lama, dan formula lama. Sedangkan generasi muda mahukan politik yang lebih segar, lebih bersih dan lebih dekat dengan realiti hidup mereka.
Jika parti politik Malaysia gagal membaca perubahan ini, tidak mustahil suatu hari nanti akan muncul “Vijay versi Malaysia” — seorang figura luar sistem yang masuk dengan persiapan rapi lalu menggoncang keseluruhan landskap politik negara.
Dan jika itu berlaku, ramai akan terkejut. Sama seperti Tamil Nadu terkejut beberapa hari lalu.
Akhirnya, kisah Rajinikanth dan Vijay memberi dua pengajaran berbeza. Rajinikanth mengajar bahawa tidak semua orang yang berpengaruh perlu masuk politik. Kadang-kadang keberanian sebenar ialah tahu bila untuk berhenti.
Vijay pula membuktikan bahawa jika mahu masuk politik, ia mesti dibuat dengan kesungguhan, strategi, dan kesediaan sebenar.
Dua legenda. Dua pilihan berbeza.
Tetapi kedua-duanya meninggalkan pelajaran besar — bukan sahaja untuk Tamil Nadu, tetapi juga untuk Malaysia.
Kelab Tasik Putrajaya,
8.30pg, 12 May 2026
Post a Comment