Boikot Produk Pro Israel Tak Beri Kesan? : Sejarah BBL Telah Buktikan Bagaimana Kita Boikot Britain Sampai Mereka Melutut Kepada Kita. Apa Itu BBL?
Tercatat dalam sejarah bahawa rakyat Malaysia pernah memboikot produk-produk daripada negara Britain pada 1981 dan 1994 kerana kerajaan Britain tidak berlaku adil kepda Malaysia. Sehingga menyebabkan Perdana Menteri Britain ketika itu menyembah kita untuk berdamai.
Maka, kalaulah rakyat Malaysia zaman awal 1980-an tanpa talifon mudah alih, tanpa segala teknologi moden yang ada pun mampu lakukan boikot. Maka, saya rasa kempen untuk memboikot produk-produk Pro-Israel kali ini bukanlah susah untuk kita lakukan.
Sebelum itu, mari kita menyoroti sejarah bagaimana Malaysia kita memboikot Britosh sehingga mereka keciritan:
1. KEMPEN BUY BRITISH LAST (BBL1.0) 1981
Pada 2 Oktober 1981 kerajaan pimpinan Dr Mahathir ketika itu membuat keputusan untuk melancarkan kempen BBL 1.0.
Polisi kerajaan Malaysia itu diumumkan oleh Dr. Mahathir sebagai suatu tindakan memboikot produk dari Britain yang mengenakan yuran tiga kali ganda terhadap pelajar Malaysia pada 1981.
Tindakan menaikkan yuran terhadap pelajar pelajar Malaysia di UK ketika itu juga ada kaitan dengan pengambilalihan syarikat Guthrie Corporation Limited dari British oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam satu gerakan yang dinamakan ‘Serangan Waktu Subuh’ (Dawn Raid) pada 7 September 1981.
Perincian Dawn Raid 1981 ini saya akan bincang di forum yang lain.
“Tindakan Britain menaikkan kadar yuran pengajian tinggi untuk pelajar Malaysia di Britain dan kegagalan pihak British dalam memahami aspirasi DEB menjadi antara punca utama yang telah mendorong Dr. Mahathir melaksanakan polisi Buy British Last pada 1981” (Sunora Sagi dan Azlizan Mat Enh 2017).
Utusan Malaysia, terbitan 6 November 1984 menyatakan, semasa merasmikan mesyuarat ke-30 Jawatankuasa Perundingan Rancangan Colombo di Kuala Lumpur pada 5 November 1984, Dr. Mahathir telah mengingatkan negara-negara maju agar tidak menaikkan yuran pengajian rakyat Malaysia untuk kepentingan masing-masing.
Dr. Mahathir menyuarakan ketidakadilan itu apabila beliau mendapati Britain hanya memberikan pengecualian kenaikan yuran kepada setiap pelajar dari negara-negara anggota European Economic Community (EEC) sebaliknya pelajar dari Malaysia tidak diberi layanan yang sama seperti pelajar-pelajar Britain.
Dr. Mahathir turut mengemukakan rayuan agar Britain mengenakan kadar yuran dan layanan yang sama untuk pelajar-pelajar dari Malaysia. Pada 1981 dianggarkan seramai 17,000 orang pelajar Malaysia sedang melanjutkan pelajaran di Britain di bawah tajaan kerajaan Malaysia.
Namun, Britain tidak menghiraukan rayuan Dr. Mahathir itu sebaliknya mencadangkan agar Malaysia menghantar pelajar-pelajarnya ke negara lain yang boleh menawarkan kadar yuran yang lebih murah.
Dr. Mahathir telah menyahut cabaran Britain tersebut dengan mengehadkan penghantaran pelajar ke Britain tetapi pada masa yang sama kerajaan menaja ramai pelajar ke negara lain seperti Jepun dan Korea Selatan melalui Dasar Pandang ke Timur.
BRITISH MULA GOYANG
Reaksi-reaksi yang telah ditunjukkan oleh Perdana Menteri Britain Margaret Thatcher, pegawai-pegawai British dan ahli-ahli perniagaan British pula telah membuktikan bahawa polisi Buy British Last telah menjejaskan kepentingan ekonomi British di Malaysia.
Berkisarkan tentang sejarah BBL 1981 ini menyebabkan syarikat-syarikat British mengalami kerugian sehingga £15.5 Juta pada beberapa bulan pertama kempen berjalan.
Dan ketegasan kerajaan dan rakyat ketika kempen yang berlangsung sehingga 18 bulan itu menyebabkan PM Britain terpaksa mengalah dan memujuk Dr Mahathir untuk berdamai.
“Pada 31 Mac 1983, Tun Dr. Mahathir menarik balik polisi Buy British Last kerana telah menyedari kesungguhan pihak British dalam memperbaiki keadaan yang tidak disenangi oleh Malaysia, terutamanya dengan memberikan subsidi yuran pengajian tinggi untuk pelajar-pelajar Malaysia di Britain” (Sunora Sagi dan Azlizan Mat Enh 2017).
Sunora Sagi dan Azlizan Mat Enh dalam Journal of Social Sciences and Humanities Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi Vol. 12. No. 3 (2017) bertajuk ‘Polisi Buy British Last’ (1981-1983): Reaksi-Reaksi British dan Implikasi Terhadap Hubungan Bilateral Jangka Pendek Malaysia dan Britain’, menyatakan polisi itu telah dilaksanakan dalam tempoh yang singkat iaitu selama 18 bulan tetapi impaknya telah menyebabkan Britain mengalami kerugian kira-kira RM170 juta.
Ketika kempen Buy British Last 1981 dilancarkan, Malaysia antara negara dagangan terbesar bagi Britain. Polisi tersebut turut menyebabkan Britain terpaksa bersaing dengan pelabur-pelabur dari negara lain untuk mendapatkan kontrak dan tender di Malaysia.
Kempen Buy British Last antara lain mencapai beberapa resolusi yang memberi kemenangan kepada Malaysia. Antaranya kerajaan Britain menyediakan bantuan kewangan sebanyak 160 juta pound sterling sebagai subsidi kepada pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian di United Kingdom (UK). Britain juga memberi hak pendaratan tambahan kepada pesawat Malaysia Airlines (MAS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London.
Lanjutan dari ini juga, Malaysia dan Britain menandatangani perjanjian jual beli kelengkapan perang (Arms deal) bernilai 1.3 Billion pound dan projek Hydroelectric Power Station (Pergau Dam) di Kelantan yang bernilai £234 juta pound.
Ternyata polisi Buy British Last yang dilaksanakan oleh kerajaan pada era 1980-an membawa banyak faedah untuk rakyat dan memberi keuntungan terhadap kepentingan strategik negara. Tindakan Dr. Mahathir itu telah membuka mata negara-negara maju agar menghormati Malaysia.
2. BUY BRITISH LAST 2.0 (1994)
Pada tahun 1994 Dr Mahathir sekali melancarkan kempen BBL 2.0 kerana kerajaan Britain dan Media di Britain telah melemparkan pelbagai tuduhan terhadap Malaysia dan Dr. Mahathir. Mereka mengatakan bahawa projek Pergau Dam ini adalah `gula-gula’ kepada Malaysia sebagai pembalasan kepada perjanjian pembelian senjata oleh Malaysia.
Malah media di Britain juga menuduh bahawa Dr. Mahathir menerima rasuah. Media di Britain telah cuba menghubungkaitkan perjanjian jualbeli senjata dengan projek Pergau Dam [The Sunday Times, January 23, 1994] dan telah menuduh perbuatan rasuah bernilai USD 500,000 kepda Dr. Mahathir [The Sunday Times, February 20, 1994].
Dr. Mahathir telah menyampaikan kekecewaanya kerana kerajaan Britain tidak membetulkan tanggapan bahawa sebenarnya projek Pergau Dam adalah low-interest loan (concessionary loan) dan bukannya grant. Dr. Mahathir juga menuntut editor Sunday Times untuk meminta maaf di atas tuduhan rasuah yang dibuat keatas beliau.
Dr Mahathir telah menulis surat kepada Financial Times dengan menyatakan “…no contracts in exchange for British press freedom to tell lies” [The Financial Times, March 17, 1994].
Akibatnya, selepas Malaysia menerima penghantaran 28 buah British Aerospace Hawk Jet-fighter trainers (melalui perjanjian jualbeli senjata), Mahathir memberitahu Duta Britain, Duncan Slater bahawa Malaysia tidak lagi akan memberi kontrak kepada Britain.
Tindakan ini kelihatan seperti kempen `Buy British Last’ 2.0. Walaupun pada tahun 1994 ini tiada kempen BBL secara rasmi daripada kerajaan Malaysia. Tetapi rakyat Malaysia seakan memahami maksud tersirat Dr Mahathir ketika itu.
Dan seluruh rakyat mulai sekali lagi tidak membeli produk produk milik British.
Tindakan berani Dr. Mahathir kali kedua ini juga bakal menjejaskan banyak contract syarikat Britain yang bernilai melebih 1 billion pound sterling termasuk kontrak projek KLIA.
Dr. Mahathir sekali lagi bertindak tegas dan berani mempertahankan maruah Negara dan dirinya dari dicemari dengan penipuan oleh media Britain atas nama kebebasan media.
Hasilnya, selepas 3 bulan, editor Sunday Times tersebut telah ditukarkan dan tidak lagi bersama akhbar The Sunday Times.
Selepas tindakan akhbar The Sunday Times ini, Dr. Mahathir menyatakan bahawa beliau dapat melihat pembaharuan dan penambahbaikan dalam laporan media Britain terhadap Negara Malaysia.
Seterusnya, Dr. Mahathir menyatakan, sekiranya media Britain tidak lagi membuat laporan penipuan terhadap Malaysia, Malaysia boleh kembali berurusniaga dengan syarikat Britain.
Sekali lagi, ketegasan Dr. Mahathir terbukti dalam mempertahankan maruah Negara daripada dicemari oleh penipuan media Britain.
Kesan kempen kali ke 2 ini lebih parah apabila menyebabkan syarikat-syarikat British mengalami kerugian berbilion Pound Sterling.
Disebabkan itu juga, ada sesetengah media di UK ketika itu mendakwa seramai 25,000 rakyat Britain kehilangan pekerjaan.
KESIMPULAN
Peristiwa-peristiwa ini sepatutnya mengingatkan kita bahawa tindakan memboikot sesuatu perniagaan itu boleh memberikan kesan yang baik juga kepada kita. Khususnya apa yang berlaku sekarang dengan usaha kita dengan tekanan melalui boikot produk-produk yang pro Israel ini dapat menghentikan kekejaman tentera Israel terhadap rakyat Palestine sejak tahun 1947 (Al Nakhbah).
Justeru, saya merasakan bahawa sebagai umat Islam, kita wajib melaksanakan boikot terhadap produk-produk yang pro kepada Israel sebagai tanda solidariti teragung kita kepada rakyat Palestine yang teraniaya dan ditindas sejak berdekad yang lalu.
Tiadalah kuasa kita untuk mendesak negara-negara besar mahupun negara-negar Arab untuk menghantar bala tentera untuk mempertahankan umat Islam di Gaza.
Tiada mampu juga kita hendak mendesak pemimpin negara kita sendiri untuk menghantar tentera ke Palestine juga atas banyak faktor-faktor lain.
Maka, apa yang mampu kita lakukan adalah dengan memulakan dengan menahan diri dan keluarga kita untuk tidak lagi membeli produk produk yang dilihat sebagai pro Israel.
Kita wajar boikot produk-produk antarabangsa yang terkait dengan Israel atau pro kepada Israel.
Selain itu, ada juga pemilik produk tempatan yang merupakan ahli politik di Malaysia juga turut berani memperlekeh usaha umat Islam di Malaysia untuk memboikot produk-produk pro Isarael ini juga harus diboikot.
Ayuh rakyat Malaysia!!
Ayuh lakukan sekali lagi!!
Zaihan Zainal, merupakan mantan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perladangan dan Komoditi, mantan Setiausaha Sulit Timbalan Yang Di Pertua Dewan Rakyat.
Post a Comment