blog di taja oleh:

blog di taja oleh:
klik gambar

PRN Johor : Kerusi Campuran Penentu Kuasa, Mampukah UMNO Bertahan Disebalik Kegagalan Onn Hafiz Mengatasi Masalah Bekalan Air

PRN Johor mempunyai 56 kerusi DUN. Untuk membentuk kerajaan, mana-mana gabungan perlu memperoleh sekurang-kurangnya 29 kerusi.

Pecahan kerusi berdasarkan etnik adalah seperti berikut: 
20 kerusi majoriti Melayu
10 kerusi majoriti Cina
26 kerusi campuran

Jika andaian dibuat bahawa:
Kerusi Melayu → direbut oleh UMNO, PAS dan Bersatu
Kerusi Cina → DAP mempunyai kelebihan besar
Kerusi campuran → PKR menjadi pemain utama

Maka terdapat beberapa senario.

Senario 1: UMNO dominan kerusi Melayu
Jika UMNO menang kira-kira 12-15 daripada 20 kerusi Melayu dan memperoleh tambahan 8-10 kerusi campuran, mereka boleh mencecah sekitar 22-25 kerusi.

Dalam keadaan itu, hanya perlu sokongan beberapa kerusi MCA/MIC atau rakan gabungan untuk membentuk kerajaan.

Ini sebenarnya hampir sama dengan corak yang berlaku dalam PRN Johor 2022 apabila BN menang besar dengan 40 daripada 56 kerusi. 

Kelebihan UMNO:
1. Jentera tradisional paling kuat di Johor.
2. Pengaruh akar umbi masih besar di kawasan luar bandar Melayu.
3. Faktor kestabilan sering menjadi naratif utama.

Namunbegitu, kita kena ingat bahawa kemenangan besar UMNO dan BN ketika itu adalah disebabkan pengundi Cina tidak turun seperti PRU14 beberapa tahun sebelum itu.

Ini dapat dilihat sendiri di gambar rajah di bawah 
Manakala, 9 bulan selepas itu apabila pengundi Cina kembali beratur panjang di pusat-pusat mengundi serta faktor pengundi 18 tahun, keadaan terus berubah. Kalau berdasarkan kemenangan 40 kerusi DUN seperti gambar di atas diterjemahkan ke kerusi parlimen pada PRU15 yang lalu, UMNO dan BN sepatutnya menang 16-18 daripada 25 parlimen di Johor.

Namun apa yang berlaku, UMNO-BN hanya menang 9 kerusi Parlimen. Manakala, PH menang 14 kerusi. Sila rujuk gambar rajah di bawah pula :
Senario 2: Undi Melayu berpecah tiga
Jika 20 kerusi Melayu dibahagi secara kasar berdasarkan kekuatan calon / bakal calon di beberapa kawasan. Ia bakal menyaksikan persaingan sengit di 20 kerusi Melayu seperti berikut: 

UMNO : 8-10
PN (Bersatu/PAS) : 8-10
Lain-lain (Amanah) : baki

Maka tiada satu blok Melayu benar-benar dominan. Dalam keadaan ini, 26 kerusi campuran menjadi penentu kerajaan. Jika PKR bersama rakan-rakan PH menguasai sebahagian besar kerusi campuran dan DAP menyapu hampir semua 10 kerusi majoriti Cina, 

PH boleh berada dalam lingkungan:
DAP : 8-10 kerusi
PKR/Amanah/MUDA : 12-15 kerusi
Jumlah sekitar 20-25 kerusi.
Maka, masih belum cukup membentuk kerajaan secara bersendirian.

Senario 3: DUN Tergantung (Hung Assembly)
Ini senario yang semakin realistik jika berlaku pertandingan tiga penjuru.
Contoh:
Tiada siapa capai 29.

Ketika itu kerajaan akan ditentukan melalui rundingan pasca pilihan raya.
Kemungkinan:
BN + PH
BN + PN
PH + PN

Ia bergantung kepada situasi politik nasional ketika itu. Siapa paling berpotensi bentuk kerajaan?

UMNO/BN masih mempunyai laluan paling mudah kerana 20 kerusi majoriti Melayu biasanya menjadi asas pembentukan kerajaan Johor.

PH pula masih bergantung kepada penguasaan hampir menyeluruh kerusi Cina dan kemenangan besar di kerusi campuran.

PN pula memerlukan gelombang Melayu yang sangat kuat untuk memintas UMNO dalam kerusi majoriti Melayu. Namun, kegagalan Pemgerusi PN yang baharu dalam menjaga hubungan diantara parti komponen serta perang mulut diantara pimpinan dan penyokong 2 parti teras PN iaitu PAS dan BERSATU dijangka tidak akan memberikan manfaat kepada kualisi tersebut untuk menang di Johor dalam PRN yang semakin hampir.

Kesimpulannya, jika undi Melayu masih berpecah antara UMNO, PAS dan Bersatu, dan DAP kekal dominan di kerusi Cina, maka kerusi campuran akan menjadi "kingmaker" sebenar Johor.

Namun begitu, banyak kegagalan Onn Hafiz Ghazi sebagai ketua kerajaan negeri boleh menyebabkan kekalahan UMNO dalam PRN ini.

Antara isu yang sering dibangkitkan oleh penduduk Johor ialah:
1. Gangguan bekalan air yang berulang di beberapa kawasan.
2. Aduan mengenai tekanan air rendah.
3. Pembangunan yang dianggap tidak seimbang antara kawasan bandar dan luar bandar.
4. Kos sara hidup yang terus meningkat.
5. Kesesakan lalu lintas akibat pertumbuhan pesat di kawasan selatan Johor.

Sekiranya isu gangguan bekalan air yang berulang, masalah infrastruktur dan persepsi kelemahan pentadbiran terus berlarutan sehingga hari pengundian, ia berpotensi mewujudkan gelombang anti-incumbency terhadap UMNO dan pentadbiran Onn Hafiz Ghazi.

Namun untuk UMNO benar-benar tumbang di Johor, sentimen tersebut perlu diterjemahkan kepada peralihan undi yang ketara di kerusi campuran dan kerusi Melayu marginal, kerana sejarah politik Johor menunjukkan kekuatan organisasi UMNO masih menjadi faktor utama yang sukar ditandingi oleh lawan-lawannya. 

Kesimpulannya, analisis saya faktor paling kritikal bukan 20 kerusi Melayu atau 10 kerusi Cina, tetapi siapa yang dapat menguasai sekurang-kurangnya 15 daripada 26 kerusi campuran, kerana di situlah majoriti kerajaan Johor biasanya ditentukan. 

Zack Zaihan Zainal
Non Partisan
Putrajaya,
1.30pg, 2 Jun 2026


No comments

BAHAS DOKTRIN BANGSA MALAYSIA